KEPIMPINAN DI PERINGKAT SEKOLAH??
Assalamualaikum dan salam sejahtera guru-guru berintegriti sekalian. Apa khabar semua?
Pada entri kali ini, saya ingin berkongsikan kepada anda semua tentang struktur organisasi di peringkat sekolah dan skop tugasannya.
Bermula dengan pengetua, tugasnya adalah merancang dan menyelia pengurusan kurikulum di semua tahap di sekolah iaitu Tingkatan 1 hingga 5. Beliau juga berperanan membimbing warga sekolah dalam mencapai matlamat dan objektif sekolah selaras dengan Kementerian Pendidikan Malaysia. Seterusnya adalah mengagih dan menyelia tugas warga sekolah seperti seorang pemantau. Di samping itu, beliau menilai prestasi kakitangan akademik dan bukan akademik. Tambahan lagi, beliau juga mempengerusikan jawatankuasa sekolah, menyelia persekitaran sekolah serta merancang takwim sekolah. Bukan setakat itu saja, beliau mengurus akaun dan kewangan serta menyediakan anggaran belanjawan untuk sekolah. Tuntasnya, pengetua mengendalikan kebanyakan tugas tetapi hanya sebagai pemantau saja.
Kita masuk kepada Penolong Kanan Pentadbiran dimana beliau berperanan untuk merancang dan menyediakan jadual waktu serta jadual ganti guru. Selain itu, beliau perlu menyediakan dan menyelaras jadual bertugas harian dan mingguan guru. Di samping itu, beliau juga menyelaras aktiviti p&p, aktiviti bulanan, peperiksaan, majlis dan upacara, kerja-kerja berkaitan bantuan kebajikan dan derma. Bukan itu sahaja, guru penolong kanan pentadbiran juga menyedia dan menganalisis data perangkaan keputusan peperiksaan seterusnya menyelia dan menyelaras aktiviti guru dan kelab guru. Apa yang boleh didapati, tugas guru ini kebih kepada pengumpulan maklumat dan data.
Beralih pula pada tugas seorang guru Penolong Kanan HEM iaitu mengurus pendaftaran dan penyaluran murid sekaligus menyelaras tugas dan aktiviti Lembaga Disiplin Murid dan Badan Pengawas sekolah. Di samping itu, guru ini perlu menyemak dan memastikan kesempurnaan rekod pendaftaran murid, jadual kedatangan kad 001 murid. Bukan itu sahaja, beliau juga mengawas pengurusan asrama serta menjadi Naib Pengerusi ahli Jawatankuasa Badan Biasiswa Sekolah. Akhirnya, guru Penolong Kanan HEM akan ditugaskan untuk menyelaras urusan skim pinjaman buku teks (SPBT). Umumnya, peranan guru Penolong Kanan HEM ini terlibat dengan para pelajar secara langsung.
Satu jawatan yang tidak kurang penting juga adalah Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum di mana beliau merancang pembangunan ko kurikulum. Sebagai contoh, aktiviti ko kurikulum dilakukan pada setiap hari Rabu jam 8:00 hingga 11:00 pagi dan mesti merangkumi bahagian sukan, kelab atau persatuan dan unit beruniform secara berganti setiap minggu. Setiap pelajar mestilah terlibat dalam ketiga-tiga elemen tersebut bagai memenuhi syarat. Selain itu, beliau juga menyelaras kegiatan sukan dan permainan sekolah. Bukan itu sahaja, beliau bertanggungjawab dalam menyelaras semua kegiatan-kegiatan persatuan, kelab-kelab dan persatuan unit beruniform. Akhir sekali, beliau haruslah menyelaras kegiatan kebudayaan. Secara umumnya, guru ini terlibat dalam bahagian kokurikulum.
Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang tugas Guru Kanan Bidang iaitu mempengerusi mesyuarat jawatankuasa mata pelajaran serta menyelaras rancangan pelajaran tahunan. Selain itu, beliau juga menyediakan soalan peperiksaan dalaman serta memutuskan buku kerja yang hendak digunakan dalam mesyuarat. Bukan itu sahaja, beliau juga berperanan menyemak buku latihan murid secara rawak bagi memastikan pelajar mendapat hak pelajaran daripada guru subjek. Sebagai tambahan, beliau juga menjadi ahli jawatan kuasa Pusat Sumber sekolah serta mencadangkan pembelian bahan pengajaran pembelajaran kepada guru dan para pelajar.
Secara kesimpulannya, setiap guru mempunyai peranan dan sangat penting memposisikan diri masing-masing mengikut kemampuan serta kelulusan dalam bidang yang khusus. Setiap guru juga harus cakna dengan tugas rakan sekerjanya supaya wujud budaya ingat-mengingati dan saling mengambil berat. Maka, tidak hairanlah organisas guru akan menjadi cemerlang.
Pada perenggan seterusnya, saya akan membincangkan tentang kepimpinan seorang guru. Menurut Haris dan Mujis (2005), terdapat dua ciri-ciri kepimpinan guru iaitu guru tidak hanya bertanggungjawab dan memainkan peranan dalam batasan ruang lingkup bilik darjah dan juga berperanan membimbing pelajar dan teman sekerja ke arah matlamat yang hendak dituju.
Selain itu, menurut Tzenmeyer dan Moller(2005) menyatakan tiga kemahiran kepimpinan guru. Yang pertama, kebolehan guru dalam mempengaruhi pelajar ataupun rakan setugas dan bertindak sebagai fasilitator, mentor, pembimbing, pakar kokurikulum, pembentuk pendekatan yang baru menerajui kumpulan pembelajaran. Yang kedua, guru mengambil bahagian dalam tugas-tugas operasi sekolah seperti penglibatan dan berperanan sebagai guru sumber, guru disiplin, guru persatuan dan bertindak selaras dengan matlamat yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Yang terakhir, guru berupaya melakukan perubahan dengan memberi sumbangan idea yang baik, dapat diterima pakai dan melakukan tindakan sesudah dilantik sebagai ahli seperti PIBG, jawatankuasa kantin dan lain-lain.
Kompeten kepimpinan guru dalam diri seseorang yang bergelar guru adalah sangat penting. Clark (1997) telah mengenal pasti beberapa kepimpinan guru iaitu memiliki ilmu pengetahuan yang luas, mendalam dan terkini. Seterusnya, guru yang cekap menggunakan segala sumber yang ada secara optimum dan akhir sekali mempunyai budaya jati diri.
Yang terakhir, saya ingin menyatakan kepimpinan guru pada masa kini. Antaranya ialah penjana budaya sekolah, kepimpinan pelbagai kebolehan, kepimpinan pengajaran, kepimpinan membuat keputusan, kepimpinan menguruskan bilik darjah, kepimpinan pengupayaan, pembentukan kumpulan kerja dalam bilik darjah.
Comments
Post a Comment